Tuesday, August 26, 2008








Urutan bayi bukan sahaja meningkatkan tumbesaran fizikal malah mengikat kasih sayang. Wartawan NOOR HASLIZA NUSI telah menemui keistimewaannya.

SENTUHAN manja jari-jemari ke seluruh tubuh membuatkan si kecil seolah-olah mengerti apa yang berlaku. Walaupun tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata, kerlipan mata dan tangisan mengiakan semua itu.

Benar, sentuhan ibu penuh keajaiban. Selain menyusukan bayi, usapan lembut tangan wanita itu memberi kesan mendalam dari segi emosi dan komunikasi ibu dan anak.

Senarionya, urutan tradisional sememangnya telah lama diamalkan oleh masyarakat hari ini khususnya golongan dewasa. Kesan positifnya pada kesihatan pengamalnya sememangnya diakui.


Kini, urutan ke atas kanak-kanak juga sudah mula diterima. Urutan merupakan terapi semula jadi yang seharusnya dijadikan rutin harian para ibu dalam membesarkan anak-anak.

Ia membantu mereka menjadi lebih sihat selain memberi kebaikan dari segi perkembangan fizikal dan mental.

Meskipun kebaikan urutan bayi telah diketahui sejak dahulu lagi oleh ramai komuniti, tetapi dokumentasi berkaitan urutan bayi terutama kesan psikologinya cuma dikemukakan oleh seorang pakar psikologi, Ruth Rice pada tahun 1975.

Sebelum ini, beberapa jururawat Hospital Bellevue di Amerika Syarikat telah berjaya mengurangkan kadar kematian bayi daripada 30 peratus hingga 10 peratus hanya dengan belaian dan sentuhan.

BAYI kadang-kadang menangis sebagai respons terhadap urutan.

Di Malaysia, kaji selidik yang dilakukan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada tahun 2002 mendapati urutan memberi kesan terhadap peningkatan berat badan bayi terbabit.

Manakala kajian yang lebih komprehensif dilakukan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Sentuhan dari Sekolah Perubatan Universiti Miami, AS, Dr. Tiffany Field pada tahun 1997.

Beliau berjaya mengenal pasti bahawa terapi sentuhan boleh membantu bayi yang lahir tidak cukup bulan meningkatkan berat badan mereka dengan lebih cepat.

TERAPI sentuhan merupakan ekspresi kasih sayang yang begitu menakjubkan oleh ibu terhadap bayinya.

Beliau juga mendapati urutan ke atas kanak-kanak yang menghidap penyakit asma mengembalikan pernafasan yang baik. Kanak-kanak diabetes pula memberi respons yang berkesan terhadap rawatan tersebut, selain dapat tidur lebih lena.

Menurut pakar pediatrik, Datuk Zulkifli Ismail, bagi bayi yang lahir cukup bulan pula, urutan bukan sahaja membolehkan mereka mengurangkan tekanan dan membantu mereka bertenang, bahkan turut menyediakan beberapa pemulihan yang lain.

"Proses urutan dikatakan dapat meningkatkan fleksibiliti, membina dan mempercepatkan proses pembinaan tulang yang sihat serta membantu memperkuatkan daya ketahanan badan untuk melawan penyakit.

"Selain daripada tanda-tanda fizikal yang jelas seperti kulit bayi yang lembut dan rambutnya yang lebat, terapi sentuhan juga merupakan ekspresi kasih sayang yang begitu menakjubkan oleh ibu terhadap bayinya," ujar bekas Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia ini lagi.

Menurut beliau, urutan bayi seelok-eloknya bermula sebaik saja bayi dilahirkan. Cara urutan dilakukan pula, jelasnya, terpulang kepada keselesaan bayi tersebut.


Para ibu boleh melakukannya sama ada dari pergelangan tangan dahulu mahupun badan si bayi, sehinggalah ke kakinya. Dan terpulang kepada si ibu untuk menggunakan minyak bayi ataupun tidak.

Apakah perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh setiap ibu dalam melakukan urutan? Kata Zulkifli, ia seharusnya dilakukan dengan kerjasama sepenuhnya daripada bayi tersebut.

"Mengurut bayi merupakan satu aktiviti terapeutik, iaitu berkenaan dengan seni pemulihan atau menyembuhkan penyakit. Ia boleh dilakukan melalui perasaan sayang di samping mewujudkan suasana bergurau senda.

"Ingat, anda bagaikan satu cermin pada bayi anda. Dia akan mengikut tingkah laku anda, jadi pastikan anda bersedia dan berada dalam suasana tenang sebelum memulakan urutan.

"Kadang-kadang, bayi mungkin akan berasa letih, maka tiada urutan diperlukan. Dia mungkin ingin berehat.

"Jadi, cubalah mengurut bayi anda selepas bangun daripada tidur," kata Dr. Zulkifli pada majlis pelancaran siri bengkel Urutan Bayi Touch, anjuran Johnson's Baby di Subang baru-baru ini.

JOHNSON'S BABY telah memperkenalkan seni urutan bayi sejak 13 tahun lalu.

Lakukan selepas mandi

MENYEDARI urutan memberi manfaat kepada ibu dan bayi, satu kempen dilancarkan bagi meningkatkan kesedaran terhadap pengamalannya.

Pengarah Pemasaran Jonhson&Johnson, Standard Guo memberitahu, kajian fisiologi dan psikiatri moden membuktikan bahawa mengurut bayi atau terapi sentuhan mampu membawa perubahan positif terhadap tumbesaran dan perkembangan bayi.

“Menyedari amalan ini penuh dengan kebaikan, Johnson’s Baby telah memulakan inisiatif untuk membina kesedaran dan membimbing golongan profesional dalam bidang penjagaan kesihatan akan kebaikan dan cara-cara mengurut bayi, khasnya di rantau Asia Pasifik sejak 13 tahun lalu.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah membantu para ibu memperoleh kelebihan dalam perkembangan mental dan fizikal anak-anak mereka.

“Ia sekali gus menjadikan amalan urutan tersebut sebagai satu cara untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak,” katanya.

Menurut Shahariah Amuni, 39, urutan bayi sememangnya memberi kelebihan.

“Urutan ini bukan sahaja dapat menenangkan fikiran si ibu malah mengurangkan tekanan.

“Berbanding sebelum ini, apabila saya meletakkannya ke dalam buaian, dia terus bangun.

“Tetapi selepas mengamalkan urutan yang diperkenalkan Johnson’s Baby, saya dapati anak saya dapat tidur dengan nyenyak.

“Selain itu, dia yang baru berusia sebulan menunjukkan perkembangan positif selepas urutan dilakukan ke seluruh badannya,” katanya yang mengamalkan urutan selepas memandikan anak.

Rohana Mohd Desa, 32, pula berkata, walaupun baru belajar cara-cara urutan bayi, anaknya memberi tindak balas yang begitu memuaskan, walaupun pada mulanya dia seperti kurang selesa.

“Dulu setiap kali hendak diurut, dia menangis dan kurang selesa. Setelah mengamalkannya setiap hari dan dijadikan sebagai aktiviti hariannya, dia seolah-olah menganggap ia satu rutin dalam hidupnya,” katanya.



Trisha kata ; Memang Trisha akui bahawa sentuhan adalah salah satu cara terbaik untuk merangsang minda dan saraf bayi ... jadi tidak hairanlah bilamana bayi yang sering dipeluk, dibelai , dicium dan digomol kelihatan lebih riang , ceria dan cerdas. Begitu besarnya nilai sentuhan untuk merangsang aura positif si manja ...

Sesiapa Yang Sedang Mencari-cari Peluang Bisnes, Mungkin Anda Berminat Untuk Melihat Blog-blog Trisha Berkaitan ..

http://www.mastereloadtrisha.blogspot.com - BIZ PREPAID PALING SYOK

http://www.extrememanworld.blogspot.com - PLAN MANTAP PRODUK HEBAT INCOME LUMAYAN SYARIKAT TERKENAL

Labels:


Trisha Kyrill @ Ainol Dahlan fallen @ 1:19 AM |